Sunday 10 March 2013

TEORI SISTEM DUNIA



                                                                  Immanuel Wallerstein

Teori sistem dunia telah diperkenalkan oleh Immanuel Wallerstein (gambar) pada tahun 1970 dan ia merupakan salah satu teori yang terkandung dalam aliran neo-marxism selain daripada teori kebergantungan dan teori pergantungan. Immanuel Wallerstein menyatakan bahawa negara negara moden yang wujud dengan adanya tahap ekonomi, politik dan undang-undang yang luas adalah sebagai ‘sistem dunia’. Beliau memperkenalkan sistem dunia adalah untuk memahami bagaimana kemajuan sesebuah negara bergantung kepada sistem kapitalis. Teori sistem dunia berkait rapat dengan teori kebergantungan dan teori pergantungan di mana teori sistem dunia ini melihat kepada tiga jenis negara yang terdiri daripada negara teras, separa pinggir dan pinggiran. Negara teras merupakan negara yang maju dan kaya yang dikenali sebagai negara-negara G7 iaitu negara Amerika Syarikat, Perancis, UK, Kanada, Jerman, Itali dan Jepun. Manakala negara separa pinggir pula merupakan negara-negara yang dikategorikan dalam negara membangun seperti negara-negara ASEAN. Negara membangun ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap pendapatan iaitu negara berpendapatan tinggi upper middle income seperti Singapura, negara berpendapatan sederhana middle-middle income seperti Malaysia dan seterusnya negara berpendapatan rendah lower middle income seperti Vietnam. Negara pinggiran pula terdiri daripada negara-negara miskin seperti di benua Afrika dan beberapa negara di Asia. Negara pinggiran ini menghadapi pelbagai konflik yang menghalang mereka daripada meningkat naik seperti negara-negara maju dan membangun. Kemiskinan yang melanda negara pinggiran ini berpunca daripada ketiadaan sumber seperti minyak, emas dan lain-lain sumber yang boleh mereka gunakan sebagaimana yang dinyatakan di dalam teori Putaran Ganas Kemiskinan Cycle of Poverty iaitu apabila sesebuah negara tidak ada sumber yang boleh diproses maka negara tersebut tidak mempunyai duit dan seterusnya kuasa membeli adalah rendah keadaan ini sekaligus akan menyebabkan proses pembangunan itu tidak dapat dijalankan. Fenomena yang berlaku kepada negara-negara ini menyebabkan berlakunya teori kebergantungan dan pergantungan di mana negara teras dan negara separa pinggiran akan bergantung di antara satu sama lain sama ada dari segi kewangan mahupun sumber manakala negara pinggiran pula terpaksa bergantung kepada negara separa pinggiran atau negara teras dari aspek kewangan, teknologi dan kemahiran bagi meneruskan kehidupan mereka.
Menjawab kepada persoalan yang telah dikemukan oleh pensyarah kami (En.Hafis Mat Simin) mengenai TEORI SISTEM DUNIA DAN KAITKANNYA DENGAN MANA-MANA NEGERI @ NEGARA, maka kami kami ingin menerangkan tentang teori sistem dunia dan seterusnya mengaitkan teori ini dengan negara Amerika Syarikat (AS) sebagai negara teras, Malaysia sebagai negara separa pinggiran dan Bangladesh sebagai negara pinggiran. Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang maju serta menjadi peneraju ekonomi dunia yang memiliki kepakaran, kewangan dan teknologi yang canggih. Oleh itu, AS mengambil kesempatan bagi menguasai negara-negara lain yang lebih rendah daripadanya. Bagi meningkatkan lagi ekonomi mereka maka Malaysia iaitu negara separa pinggiran dijadikan salah satu daripada tempat untuk memasarkan barangan-barangan keluaran mereka. Malaysia tidak hanya menjadi tempat pemasaran barangan Amerika Syarikat tetapi pada masa yang sama Malaysia juga menjalinkan hubungan diplomatik yang erat dengan negara tersebut. Hubungan ini menunjukkan kepada berlakunya teori kebergantungan yang berlaku di antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Manakala negara Bangladesh merupakan salah sebuah negara pinggiran (miskin) mempunyai penduduk yang ramai. Oleh itu, kebanyakkan mereka akan berhijrah ke negara-negara lain yang mempunyai peluang pekerjaan yang banyak. Salah satu negara yang menjadi tumpuan penduduk-penduduk negara ini adalah Malaysia kerana sebagaimana yang kita tahu, Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang mempunyai banyak peluang pekerjaan terutamanya dalam sektor buruh. Disebabkan itu imigran-imigran dari negara tersebut banyak bergantung kepada Malaysia dalam aspek pekerjaan untuk menaikkan taraf kehidupan mereka walaupun ditawarkan dengan gaji yang sedikit, maka di sini berlakulah teori pergantungan yang menunjukkan pergantungan mereka dari segi kewangan kepada negara Malaysia.    

Monday 4 March 2013

IMPERIALISME

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Entri kami pada hari ini adalah untuk membicarakan tentang apa itu yang dikatakan sebagai  IMPERIALISME.
Imperialisme merupakan satu istilah yang telah diperkenalkan oleh penulis-penulis Inggeris di Perancis bagi pada tahun 1830-an bagi menerangkan tentang dasar-dasar perluasan kuasa yang dilakukan kerajaan Inggeris, hal ini adalah kerana orang Inggeris beranggapan merekalah yang paling berkuasa disebabkan mereka telah berjaya menguasai negara-negara di Asia dan Afrika.
            Mereka mengatakan bahawa penguasaan mereka adalah untuk membantu membangunkan masyarakat di negara-negara ini yang pada pandangan mereka masih mundur ke belakang dan ini adalah untuk kebaikan mereka juga. Imperialisme menonjolkan sifat hegemoni yang bermaksud proses bagaimana sesebuah kuasa yang dominan mengekalkan kekuasaan mereka. Apabila kita mengaitkan tentang kuasa-kuasa Inggeris ini dan sifat hegemoni maka ia menunjukkan bagaimana sesebuah kuasa barat itu mencari jalan bagaimana mereka boleh mengekalkan kekuasaan mereka secara halus tanpa tentangan oleh masyarakat itu sendiri.
Tujuan utama imperialisme adalah untuk menambahkan hasil ekonomi negara yang menjajah iaitu negara Barat kerana mereka tidak mempunyai sumber ekonomi yang mencukupi. Mereka akan mengeksploitasi sumber-sumber ekonomi negara-negara yang dikatakan ‘mundur’ ini dan dijadikan sebagai hak milik mereka. Selain daripada faktor penguasaan ekonomi, mereka juga (negara Barat) mengamalkan satu kepercayaan iaitu ethnosentrism iaitu anggapan bahawa suatu bangsa itu lebih mulia atau lebih baik berbanding bangsa yang lain sebagai contoh bangsa Jerman dan Itali.
Faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya imperialisme adalah adanya perasaan ingin mencapai taraf sebagai bangsa yang besar dan memerintah dunia misalnya imperialisme negara Jepun (http://www.btpnkl.edu.my/cerdiknet/bahan/sejarah/download/a-4.pdf).
Dasar imperialisme pada awalnya bertujuan untuk menyebarkan idea-idea dan kebudayaan barat ke seluruh dunia, oleh itu imperialisme bukan sahaja dilihat sebagai penjajahan kuasa Barat ke atas negara lain tetapi juga menjadi faktor pendorong kepada wujudnya pembaharuan-pembaharuan yang menyumbang kepada pembinaan sebuah bangsa dari segi pendidikan, kesihatan, perundangan dan sistem pemerintahan.
Imperialisme boleh dibahagikan kepada dua iaitu imperialisme kuno atau lama dan imperialisme moden. Imperialisme kuno@lama adalah negara-negara yang berjaya menakluki negara lain dan mementingkan kepada cita-cita antarabangsa kerana sesebuah negara akan mengembangkan kuasa dan pengaruhnya terhadap negara yang ditakluki sebagai contoh perluasan empayar Rom, Turki Uthmaniyyah, China dan beberapa lagi negara yang berjaya menguasai negara di Asia dan Afrika sebelum tahun 1870. Selepas tahun 1870, imperialisme moden mula tercetus disebabkan oleh Revolusi Industri di Eropah pada abad ke-19 (http://www.scribd.com/doc/13262601/Sejarah-Revolusi-Industri). Disebabkan berlakunya peningkatan dari segi modal dan barangan secara mendadak sehingga berlakunya lebihan maka negara-negara Barat berlumba-lumba untuk meluaskan penjajahan mereka untuk memasarkan barangan mereka. India dan China dijadikan sebagai sasaran utama kerana jumlah penduduk yang sangat ramai yang mampu mewujudkan potensi pasaran yang luas bagi barangan mereka.
Pada akhir abad ke-19, wujud pula semangat kapitalisme yang menjadi penggerak kepada kolonialisme yang akan kami bincangkan pada entri yang akan datang.

             

Friday 1 March 2013

SABASUN HYPErRUNCIT



Assalamualaikum w.b.t.
kita bertemu lagi di pagi hari sabtu yang sungguh mendamaikan. Pagi ini cuaca baik dan tidak menunjukkan tanda-tanda hujan ingin memunculkan dirinya, okk..sebelum kami menjadikan blog ini sebagai blog ramalan kaji cuaca lebih elok sekitanya kita kembali kepada tajuk yang sebenar-benarnya yang ingin kami bincangkan iaitu berkenaan SABASUN HYPErRUNCIT.

Pertama sekali marilah kita mengenali dengan lebih lanjut mengenai SABASUN HYPErRUNCIT sebelum kita membincangkan aspek-aspek lain yang boleh dikaitkan dengan subjek kami iaitu pembangunan dan perubahan sosial.

SABASUN HYPErRUNCIT merupakan hak milik bumiputra Islam dan ia mempunyai beberapa cawangan di negeri Terengganu. 'Sabar dan Bersungguh-sungguh', itulah perkataan yang menyebabkan wujudnya nama SABASUN. SABASUN HYPErRUNCIT dikenali dengan mottonya iaitu 'harga muroh sokmo' yang sememangnya begitu sinonim dengan masyarakat di negeri Terengganu khasnya.


Ia mula beroperasi pada bulan April 1995 di atas tapak kedai kecil yang hanya berkeluasan 3000 kaki persegi dan mempunyai banyak kekurangan. Namun selaras dengan kemajuan dan pertambahan jualan yang meningkat dari tahun ke tahun maka pada tahun 2000, SABASUN berjaya mendirikan bangunan milik sendiri yang bernilai 2.4 juta dan seterusnya menambahkan keluasan jualan sehingga 18,000 kaki persegi dan bilangan pekerja yang semakin bertambah. Selain di Kuala Terengganu, SABASUN juga telah menubuhkan cawangannya di Gong Badak dan ini memudahkan kami, pelajar dan masyarakat setempat untuk membeli barangan-barangan keperluan harian dengan harga yang murah selain daripada pasaraya-pasaraya yang sedia ada seperti MYDIN dan GIANT.


Tahun demi tahun SABASUN HYPErRUNCIT semakin berkembang dengan pesatnya, ditambah lagi dengan kemudahan infrastruktur seperti surau, tempat letak kenderaan, restoran dan sebagainya yang lebih baik bagi memberi keselesaan kepada setiap pengguna. Pada ketika ini, keluasan ruang niaga SABASUN HYPErRUNCIT telah mencecah sehingga 70,000 kaki persegi dan dengan izin Allah diharapkan SABASUN HYPErRUNCIT akan bertambah maju.

Setakat ini sahaja entri kami pada hari ini, tapi ini bukanlah yang terakhir. Masih banyak yang ingin kami tuliskan dan ini hanyalah permulaan sahaja. kita berjumpa lagi pada waktu yang lain pula. SEKIAN...

to be continued...

http://www.youtube.com/watch?v=OFuOODU4p1E