Thursday, 30 May 2013

SABASUN HYPERRUNCIT (sambungan...)

Assalamualaikum w.b.t
Ini merupakan entri terbaru dari kami bagi menyambung entri yang sebelumnya iaitu berkenaan tentang Sabasun Hyperruncit. Kami akan menghuraikan dengan lebih terperinci berkenaan Sabasun Hyperruncit dari beberapa aspek berdasarkan kepada pemerhatian dan tinjauan yang dilakukan oleh kumpulan kami sebelum ini.

ASPEK KEMUDAHAN & BARANGAN

Pelbagai kemudahan disediakan bagi menjamin keselesaan pelanggan dan ini menunjukkan Syarikat Sabasun HyperRuncit Sdn.Bhd sentiasa peka terhadap keperluan dan kehendak pelanggan mereka. Berdasarkan pemerhatian kami, antara kemudahan yang disediakan bagi pelanggan adalah bilangan kaunter pembayaran yang semakin banyak dibuka kerana terdapatnya pertambahan pelanggan dalam urusan jual beli. Maka, dengan adanya bilangan kaunter yang agak banyak, secara tidak langsung ini memudahkan proses jual beli kerana mereka tidak perlu beratur panjang. Di samping itu, masa yang diambil juga singkat dan ini membolehkan pelanggan melaksanakan urusan jual beli tanpa tergesa-gesa dan dapat melakukan urusan-urusan lain dengan segera.
            Selain itu, Syarikat Sabasun juga turut menyediakan ruang letak kereta di bahagian hadapan syarikat, begitu juga di bahagian belakang syarikat mereka. Ruang letak kereta di bahagian hadapan agak terhad kerana berhadapan dengan jalan raya yang agak kerap digunakan oleh pemandu kenderaan yang lain. Pelanggan yang ingin meletak kereta mereka di kawasan ini perlu berebut dengan pemandu kenderaan lain yang mana mempunyai urusan masing-masing. Oleh itu, langkah bijak dilaksanakan oleh syarikat ini iaitu dengan memperluaskan kawasan bahagian belakang. Ruang letak kereta tidak dikenakan sebarang cas dan tempatnya tidak terhad. Kini, ruang di bahagian belakang telah pun diturap untuk keselesaan pelanggan bersama. Jalan sebelum ini berdebu dan berbatu. Ekoran daripada ini, ia mengundang bahaya dari segi kesihatan dan keselamatan pelanggan terutamanya kepada keluarga yang membawa anak-anak kecil.
            Seterusnya, Sabasun HyperRuncit juga turut menyediakan tandas awam dan surau bagi keselesaan para pekerja dan pelanggan. Oleh itu, mereka tidak perlu bersusah-payah untuk mencari tandas awam di luar kawasan hyper runcit ini. Malahan, tiada sebarang cas dikenakan untuk mengguna pakai tandas awam ini. Memandangkan majoriti daripada pekerja adalah Islam, maka surau disediakan untuk memudahkan pekerja dan juga pelanggan bagi menunaikan kewajipan agama. Pelanggan tidak perlu tergesa-gesa dalam urusan pembelian apabaila masuk waktu kerana surau hanya berdekatan sahaja. Malahan, bagi memudahkan lagi pelanggan dan pekerja, surau dan tandas disediakan secara berasingan untuk lelaki dan wanita.
Selain dari kemudahan yang seperti di atas adalah terdapat di belakang syarikat ini turut tersedia Kiosk. Pada bahagian Kiosk ini, perkhidmatan fotostat, fax, perkhidmatan kad prabayar bagi semua talian, majalah dan akhbar turut dijual di sini.  
Setelah pemerhatian dibuat, kami mendapati bahawa Sabasun HyperRuncit menyediakan barang-barang yang mudah didapati oleh pelanggan dan harganya murah berbanding pasaraya lain seperti Giant kerana sesuai dengan mottonya iaitu Harga Murah Sokmo (Everyday Low Prices) yang telah menawarkan harga terendah kepada para pelanggannya.
            Sabasun merupakan pasaraya yang unik antara pasaraya yang lain kerana Sabasun sentiasa memastikan barangan yang dikeluarkan adalah halal lagi baik dan telah melalui proses pemeriksaan yang ketat bagi menghasilkan kualiti yang baik di samping menitikberatkan kuantiti yang banyak.  Para pelanggan Sabasun tidak perlu bimbang atau was-was dengan pengeluaran produknya kerana bertepatan dengan syarak berbanding dengan pasaraya Giant kerana pemiliknya adalah bukan Islam iaitu berbangsa Cina.
            Barang-barang yang terdapat dalam Sabasun adalah 100 peratus milik Bumiputera Islam.  Setiap lima hari, Sabasun akan mengadakan kempen hyper muroh iaitu harga yang ditawarkan pada harga terendah mengikut hari yang telah ditetapkan dan baru-baru ini telah pun dijalankan iaitu pada 16/5/2013 hingga 20/5/2013 kepada pelanggan mereka.  Selain daripada menawarkan barangan makanan dan minuman, mereka juga menyediakan pakaian, barang-barang dapur, perabut, alat tulis dan sebagainya.
            Pihak Sabasun juga telah melaksanakan kempen Boikot Barangan Belanda kerana telah mereka telah memfitnah, menghina dan memburukkan agama Islam yang bertajuk ‘Fitna’ oleh Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilder pada 27 Mac 2008.  Semua barangan keluaran negara Belanda tidak dipamer dan tidak dijual begitu juga dengan barangan keluaran Israel dan Amerika Syarikat seperti Coca Cola, Pepsi, rokok dan sebahagian daripada produk berjenama Nestle bagi menunjukkan kemarahan umat Islam.  Selain itu, sikap tegas mereka juga patut dipuji kerana mereka tidak akan menjual barangan yang mempamerkan tubuh wanita seperti sabun Lux.
Sabasun merupakan HyperRuncit yang satu-satunya mempertahankan agama Islam dan menegakkan kebenaran dengan tegas dan berani walaupun terpaksa menanggung kerugian tetapi mereka yakin dengan janji Allah s.w.t dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud:
 “Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. Ayat Allah s.w.t inilah yang menjadi prinsip perniagaan mereka.

ASPEK PENGGUNA 
Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini iaitu cawangan Sabasun di Terengganu terletak di Bandar Kuala Terengganu dan Gong Badak. Kebanyakan pengguna atau masyarakat yang membeli di Sabasun majoritinya terdiri daripada golongan Melayu. Hal ini, disebabkan kedudukannya yang terletak berdekatan dengan penempatan masyarakat Melayu dan ditambah lagi dengan jumlah masyarakat Melayu yang majoriti di Terengganu.
Pengguna atau pembeli yang membeli barangan di Sabasun HyperRuncit kebanyakannya terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Contohnya, di Sabasun Gong Badak, kebanyakan penggunanya adalah penduduk di sekitar kampung berkenaan dan juga daripada kawasan-kawasan yang berdekatan. Di samping itu, terdapat juga pembeli-pembeli dari daerah luar tetapi ianya hanyalah minoriti. Selain itu, Sabasun menjadi pilihan untuk membeli-belah kerana barangan yang dijual di Sabasun adalah berpatutan dan mempunyai kualiti yang baik berbanding sesetengah pasaraya yang menjual dengan harga yang murah, tetapi kualiti produknya kurang memuaskan.
Selain masyarakat Melayu, terdapat juga pembeli yang terdiri daripada bangsa Cina. Namun ia hanyalah minoriti dan jarang dilihat. Hal ini kerana, mereka lebih suka membeli di kedai yang diusahakan oleh kaum mereka sendiri berbanding kedai orang Melayu. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Cina dapat menguasai ekonomi negara berbanding golongan Melayu.

ASPEK PERBEZAAN SABASUN DENGAN HYPERRUNCIT LAIN

Sabasun HyperRuncit amat berbeza dengan supermarket-supermarket yang lain. Salah satu yang dapat dilihat pada HyperRuncit Sabasun adalah penetapan harga yang amat berpatutan. Ini selaras dengan motto Sabasun sendiri iaitu Harga Murah Sokmo.
Terdapat pengakuan-pengakuan daripada masyarakat yang menyatakan bahawa Sabasun adalah hyper runcit yang paling unik di Malaysia. Hal ini dikukuhkan dengan hujah mereka yang mana menyatakan Sabasun berusaha melaksanakan tanggunggjawab sebagai Muslim khususnya orang Islam bagi memastikan barangan yang dijual adalah halal.  Konsep halal amat dititik beratkan oleh pegawai Sabasun hinggakan pihak Sabasun sanggup untuk pergi melawat kilang-kilang yang mengeluarkan produk-produk tertentu bagi memastikan proses yang dijalankan tidak bercanggah dengan syara’. Ini menjadikan para pelanggan tidak perlu merasa ragu-ragu dan menyimpan syak wasangka tentang status halal barangan yang terdapat di Sabasun. Tidak dinafikan juga, perkhidmatan pekerja-pekerja Sabasun amatlah baik.
Selain itu, satu perkara yang mungkin tidak ditemui oleh pelanggan lain dan mungkin hanya terdapat di Sabasun sahaja ialah mereka menjalankan kempen boikot barangan tertentu yang berkait dengan sensitiviti orang Islam. Mereka teguh dengan pelaksanaan yersebut walaupu barangan berkenaan adalah barangan yang popular menjadi keperluan ramai. Dengan itu, mereka sanggup kerugian dengan nilai yang tinggi hanya semata-mata mahu melaksanakan perkara berkenaan. Petikan kata-kata yang dinyatakan dalam kempen Boikot Barangan Amerika dan Israel ialah :
"Setelah memboikot barangan tersebut, kami telah kehilangan nilai jualan melebihi RM100 ribu sebulan. Jikalau ditinjau dari sudut bisnes, keputusan ini amat merugikan. Kami akui masih terdapat barangan keluaran negara tersebut di dalam premis kami. Kami berterus terang di sini bahawa di dalam kebanyakan kedai runcit atau supermarket, terdapat lebih 40% barangan keluaran negara pengganas Amerika, England dan Australia. Untuk terus berhenti menjual kesemua 40% barangan tersebut serentak bermakna kami terpaksa mengalami kejatuhan perniagaan. Dan apabila Sabasun tiada, sudah tentu kami tidak mampu langsung untuk terus berjuang. Oleh itu kami mengambil langkah secara berperingkat-peringkat. Kita perlu bertindak RASIONAL, bukan secara EMOSI.
Di samping itu, pelanggan harus memilih Sabasun sebagai tempat membeli-belah kerana Sabasun telah dipilih sebagai Kedai Pilihan Pengguna  oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada tahun 2008/2009.

KESIMPULAN
Berdasarkan kajian secara pemerhatian kami dapati sememangnya Sabasun HyperRuncit memiliki pelangganya tersendiri. Kemudahan yang disediakan, barangan yang ditawarkan, lokasi yang strategik serta harga yang berpatutan dan murah merupakan faktor kepada seseorang pengguna itu datang untuk membeli di sesuatu pusat membeli belah. Oleh itu, kami dapati Sabasun HyperRuncit menjadi pilihan para pelanggan yang merasakan faktor-faktor yang dimiliki oleh hyperruncit ini bertepatan dengan citarasa, pemikiran, kewangan serta gaya hidup mereka.
Maka, pelbagai usaha boleh dilakukan dari pihak peniaga, kerajaan serta masyarakat untuk memajukan lagi hyperruncit ini agar mendapat sambutan oleh semua lapisan masyarakarakat, tanpa mengira bangsa dan agama. Media massa sama ada media cetak dan elektronik juga perlu memainkan peranan penting untuk memperkenalkan hyperruncit ini kepada masyarakat di Terengganu dan luar sehingga mampu membuka cawangan bukan sahaja Terengganu tetapi di seluruh negara. Kerajaan juga hendaklah memberikan dana kepada hyperruncit bumiputera ini bagi memastikan perkembangannya terus berlaku seiring perubahan masa. Pihak peniaga sendiri juga perlu kreatif dan inovatif bagi melahirkan idea untuk menarik lebih ramai pengguna baru dan mengikat pengguna untuk datang secara berulang.






1 comment:

  1. I love your blog
    followed
    http://minimaysi.blogspot.co.uk/

    ReplyDelete

http://www.youtube.com/watch?v=OFuOODU4p1E